Friday, 27 June 2014

Ketinggian Budi Nabi Muhammad S.A.W.



   Beliau adalah sesempurna-sempurna contoh teladan bagi seluruh umat manusia dipermukaan bumi ini. Beliau adalah semulia-mulia Nabi dan Rasul. Di akhirat nanti beliau pulalah yang paling dulu masuk syurga. Demikianlah setiap orang yang bercita-cita luhur. Tidak akan redha kecuali dengan menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai pemimpin (Imam) dan teladan yang baik.

Firman Allah Ta'ala di dalam al-Qur'an yang bermaksud :


" Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah S.A.W. contoh teladan yang baik bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (keselamatan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah."
( Surah al-Ahzab : ayat 21 )

  1. Nabi Muhammad S.A.W. adalah manusia yang paling adil, paling sabar, paling berani dan paling banyak memberikan pengampunan dan maaf diantara seluruh umat manusia, baik yang seagama mahu pun yang berlainan agama.
  2. Nabi S.A.W. sama sekali tidak pernah menyentuh seorang wanita yang bukan muhrimnya.
  3. Nabi S.A.W. tidak pernah enggan memberikan apa saja yang dimilikinya bila seseorang datang meminta kepada beliau.
  4. Nabi S.A.W. selalu memenuhi undangan siapa saja yang mengundang beliau, baik orang kaya atau miskin, tanpa membeza-bezakan.
  5. Nabi S.A.W. sangat pemalu sehingga tidak pernah menatap seseorang terlalu lama.
  6. Apabila disinggung orang tentang peribadi beliau, Nabi S.A.W. tidak pernah menunjukkan kemarahannya tetapi beliau akan marah sekali apabila agama dan hukum Allah dilanggar.
  7. Rasulullah S.A.W. tidak pernah lokek dalam menjawab pertanyaan siapa saja, baik dari tingkat atasan mahupun bawahan.
  8. Nabi S.A.W. tidak pernah kenyang dalam makan dan minum dan tidak pula mencela makanan apa saja yang tersaji dihadapan beliau.
  9. Nabi S.A.W. tidak pernah khuatir dan kecewa tentang segala masalah keduniaan.
  10. Nabi S.A.W. suka mengunjungi orang sakit dan suka duduk-duduk bersama orang miskin.
  11. Rasulullah S.A.W. tidak pernah takut kepada penguasa kerana kekuasaannya dan tidak pernah menghina orang miskin kerana kemiskinannya.
  12. Nabi S.A.W. tidak pernah membalas perbuatan jahat kepada sesiapa pun kecuali bila orang melanggar agama Allah.
  13. Nabi S.A.W. tidak pernah memukul sesiapa pun dengan tangan beliau yang mulia itu.
  14. Nabi S.A.W. sangat memuliakan tetamu yang datang kerumah beliau.
  15. Nabi S.A.W. tetap berzikir kepada Allah dalam keadaan duduk dan berdiri.
  16. Nabi S.A.W. tidak pernah mengambil tempat duduk istimewa bila berkumpul dengan sahabat-sahabat beliau. Bila beliau datang terkemudian, dimana saja tempat kosong, disitulah beliau duduk.
  17. Bila Nabi S.A.W. sedang solat dan ada orang menunggu maka beliau ringkaskan solat dan melayani orang itu tanpa membiarkannya menunggu terlalu lama.
  18. Didalam setiap pertemuan, Nabi S.A.W. menghadapkan muka beliau kepada semua yang hadir.
  19. Nabi S.A.W. adalah manusia yang paling penuh belas kasih terhadap sesama manusia.
  20. Setiap kali berdiri dari sesuatu majlis, beliau selalu membaca: "Maha Suci Engkau, Ya Allah dan dengan segala puji kepada Mu, aku menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Engkau dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Mu."
  21. Nabi S.A.W. apabila berucap, ringkas dan padat perkataannya lagi mudah difahami.
  22. Nabi S.A.W. adalah manusia yang paling fasih lidahnya dan paling manis tutur katanya.
  23. Rasulullah S.A.W. adalah manusia paling banyak memberikan manfaat terhadap sesama manusia.
  24. Apabila hendak memulai makan, Nabi S.A.W. membaca "Bismillah". Bila makanan itu panas, beliau dinginkan dahulu. Apabila selesai makan, beliau membaca "Alhamdulillah".
  25. Kebanyakkan pakaian Nabi S.A.W. berwarna putih dan beliau memanjangkan pakaiannya itu sampai diatas mata kaki. Bila memakainya, beliau memulai dari sebelah kanan dan mulai menanggalkannya dari sebelah kiri.
  26. Nabi S.A.W. kadang-kadang memakai kopiah dan serban, kadang-kadang pula tidak.
  27. Bila beliau memakai pakaian baru, pakaian yang lama diberikannya kepada orang lain.
  28. Nabi S.A.W. berperangai lemah lembut lagi sangat halus perasaannya.
  29. Rasulullah S.A.W. adalah orang yang paling dermawan, apalagi dalam bulan Ramadhan. Kedermawan beliau seperti angin berhembus kencang. Beliau menyedekahkan apa saja yang beliau miliki.
  30. Nabi S.A.W. adalah manusia yang paling suka merendah diri. Beliau pernah membawa perbelanjaan dari pasar kerumah, menjahit pakaian sendiri dan mengambil makanan sendiri.
  31. Apabila Rasulullah S.A.W. berjalan dengan rombongan, beliau tidak mahu berjalan dihadapan diiringi oleh sahabat-sahabat beliau.
  32. Diantara kedua bahu beliau kelihatan Cop Kenabian.
  33. Nabi S.A.W. bila berjalan melintasi kanak-kanak dan wanita, beliau tak lupa mengucapkan salam.
  34. Nabi S.A.W. memberi pelajaran dan nasihat dengan kata-kata lemah lembut, manis, sopan dan sedap didengar.
  35. Bila ketawa, Nabi S.A.W. tidak terbahak-bahak, melainkan hanya tersenyum hingga kelihatan gigi serinya sahaja.
Demikianlah serba sedikit mengenai ketinggian akhlak dan peribadi Rasulullah S.A.W. Masih tak terhitung lagi akhlak Nabi S.A.W. yang amat tinggi. Apa yang dituliskan disini hanyalah ringkasan dari apa yang telah diringkaskan. Marilah kita memohon kepada Allah S.W.T. mudah-mudahan kita semua dan keturunan kita dapat mengikut teladannya.
Aaamiiin.

No comments:

Post a Comment